Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)

December 26, 2009

Ramai dijangka hadiri Forum ‘E-Voting’

Ramai dijangka akan hadir ke Forum Terbuka berkenaan Sistem Pengundian Elektronik (E-Voting) anjuran Wakil Fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)

Forum yang bertajuk ‘E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus’ akan diadakan pada 1 Januari 2010 bertempat di Dewan Kuliah Utama Akademi Pangajian Islam Universiti Malaya (APIUM) jam 8.30 malam.


“Ramai yang memberi feedback yang positif atas penganjuran program ini kerana bukan sahaja membincangkan sistem (E-Voting) ini dari sudut yang pelbagai, telus dan intelek, bahkan panelis yang bakal hadir sememangnya pakar dalam sistem E-Voting, isu perundangan dan demokrasi,”ujar pengerusi BANTAH, Mohd Aizat Salleh.

Menurut beliau juga, hadirin yang bakal hadir termasuk dari pelbagai kampus dan NGO termasuk juga beberapa front mahasiswa seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS), Pro Mahasiswa Nasional (PRO-M), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman (SPKUM).

Forum berkenaan bakal menampilkan antara lain ialah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan YB Chang Lih Kang, bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Teja dan Dr Chiew Thiam Kian, pensyarah kejuruteraan perisian dari Universiti Malaya (UM).

Walaubagaimana pun, Dr Thiam Kian setakat ini masih lagi mempertimbangkan keputusan bagi menjadi panelis bagi forum berkenaan.

“Kalau Dr Thiam (Kian) tak dapat (menjadi panelis), kita mungkin akan menjemput Dr (David) Asirvatham (Pengarah Pusat Teknologi Maklumat Universiti Malaya) sebagai pakar dalam bidang perisian berkenaan untuk menjadi panelis, setakat ini kami masih berusaha,”respon Aizat.



0 comments:

Post a Comment

 
Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.