Beberapa langkah telah diambil oleh Pihak BANTAH di dalam menjamin ketelusan di dalam pilihanraya kampus akan datang di antaranya ialah menghantar Memorundum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khalid Nordin, surver terhadap mahasiswa tentang E-Voting dan siri-siri penerangan kepada mahasiswa berkenaan dengan sistem baru ini. Beberapa siri penjelajahan telah bermula di peringkat awal lagi sehinggalah merangkak masuk ke Bangunan Parlimen bagi menyatakan pendirian mahasiswa kepada Ahli Parlimen Malaysia bahawa mahasiswa tidak mahu sebarang bentuk ketidakadilan di dalam Demokrasi Kampus pada sesi kali ini.
Dengan sikap yang terbuka dan mahukan ketelusan di dalam Pilihanraya Kampus pada kali ini, maka BANTAH terpanggil untuk mengadakan Forum Terbuka berkenaan dengan Sistem E-Voting yang akan dilaksanakan ini. Secara dasarnya, Forum sebegini diadakan bukanlah semata-mata berkepentingan politik kampus tetapi kita mahukan mahasiswa mendengar sendiri pandangan dan pendapat daripada tokoh-tokoh akademik yang lansgung tidak mempunyai ideologi politik seperti Prof. Dr. Aziz Bari.
Selain itu, beliau juga akan mengupas dari sudut perundangan bilamana sistem E-Voting ini dijalankan secara menyeluruh dan penerapan undang-undang termasuklah AUKU yang digunapakai di dalam sistem ini. 2 orang tokoh lagi dijemput untuk menerangkan bagaimana sistem E-Voting ini berjalan dari sudut perisian teknologi dan kita juga mahu melihat berapa peratus kecekapan dan ketelusan sistem ciptaan manusia mampu memberikan suatu kepuasan terhadap mahasiswa dan wujudkan kebobrokan akibat daripada tangan-tangan manusia yang akan mencemari penggunaan sistem ini.
Biarlah mahasiswa bertanding di atas satu landasan yang rata sesama mahasiswa manakala Pentadbiran Universiti hanyalah sekadar Pengadil yang akan mengadili dengan adil dan bijaksana. Kita tidak mahu pilihanraya kampus ini menjadi gelangang silap mata tetapi mata tidak silap lihat segala propaganda yang memungkinkan ketelusan di dalam pilihanraya ini diragui.
Selain itu, kita di peringkat BANTAH ingin menyeru kepada seluruh Mahasiswa supaya memandang isu ini sebagai suatu perkara yang serius kerana melibatkan kepimpinan di peringkat Universiti. Kita tidak mahu pemimpin yang dilantik nanti akan menjadi Lembu Dicucuk Hidung dan tidak mampu membuat keputusan yang berasaskan Mahasiswa tetapi mengikut telunjuk sesetengah pihak yang berkepentingan. Pemimpin Mahasiswa adalah bebas dari sudut membawa mahasiswa ke arah yang lebih produktif dan menjaga kebajikan Mahasiswa adalah satu tanggungjawab yang paling utama. Kita tidak mahu Pemimpin Mahasiswa yang dilantik nanti hanya pandai berkata-kata bila berhadapan dengan Mahasiswa tetapi kecut perut bila berhadapan dengan pentadbiran. Ingin menjaga nama dan pangkat, maka sanggup ditunggang seadanya dan inilah Pemimpin Bacul yang sedang dilahirkan sekarang.
Mahasiswa bebas berfikir dan di peringkat kampus, mahasiswa bebas melaksanakan apa-apa jua tindakan selagi mana bertepatan dengan peraturan Universiti tetapi peraturan yang mengekang dan menghalang kebebasan mahasiswa perlu diperbetulkan dan diperbaiki.
Ramai yang berpendapat bahawa pelaksanaan Sistem E-Voting di UIAM dan UPM baru-baru ini sudah menjelaskan bahawa gambaran pelaksanaan ini adalah telus dan adil. Kami di BANTAH ini ingin menyatakan dasar kami bahawa suasana di setiap Universiti amat berbaza dan ini memungkinkan bahawa suasana tersebut akan berubah bila-bila masa. Memang benar, UIAM sudah lama melaksanakan sistem ini bahkan kita perlu menyedari bahawa di peringkat awal sistem ini dibantah secara keras di peringkat Mahasiswa UIA begitu juga di UPM dan kini BANTAH secara keseluruhannya membantah sistem ini. Bukan perlaksanaan yang ingin kami tumpukan tetapi kami mahukan jaminan ketelusan dan keadilan di dalam pilihanraya kampus yang akan diadakan.
Buat apa mengadakan pilihanraya jika berlakunya kepincangan dan keraguan sebelum sistem dilaksanakan??. BANTAH mahukan jaminan 100% daripada pihak pentadbiran Universiti sebelum diadakan sistem E-Voting ini secara keseluruhannya. Jika tiada jaminan sepenuhnya daripada pihak Universiti, BANTAH beranggapan bahawa pihak universiti belum cukup bersedia untuk mengadakan sistem ini dan tidak perlu segan silu, pihak Universiti perlu menarik balik keputusan untuk melaksanakan E-Voting ini.
Akhir sekali, saya menyeru kepada seluruh Mahasiswa untuk bersama-sama menghadiri Forum Terbuka yang BANTAH adakan secara ilmiah bagi membuka minda mahasiswa terhadap Sistem E-Voting ini dengan jelas berdasarkan prinsip keadilan sejagat buat mahasiswa. Jadikan Forum ini sebagai wadah yang baik dan bermakna kepada seluruh mahasiswa untuk mengenal Sistem E-Voting ini dengan lebih mendalam. Seluruh Mahasiswa dijemput hadir.
MOHD RIDZUAN BIN OTHMAN
JURUCAKAP BANTAH
0 comments:
Post a Comment