Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)

December 28, 2009

"Forum Terbuka E-Voting akan berjalan dalam Suasana Penuh Intelek"


Beberapa hari lagi Forum yang ditunggu-tunggu oleh seluruh mahasiswa akan berlangsung. Forum yang akan dijangka memberi nafas baru buat seluruh aktivis dan pendokong mahasiswa dan merupakan kemuncak segala-galanya perjuangan Gerakan Bantah E-Voting (BANTAH) di dalam menggarap sebuah keadilan dan ketelusan di dalam Demokrasi Kampus pada masa kini dan selamanya.

Feedback yang diterima oleh pihak BANTAH mengenai kehadiran rakan-rakan mahasiswa daripada universiti-universiti lain di antarnya UIA, UKM, UiTM, USM, UPM, UTM dan universiti dan kolej universiti lain membuatkan semangat kepada Gerakan BANTAH mula diberikan pengiktirafan walaupun pihak BANTAH juga dibantah oleh golongan yang pro-E-Voting.

Tidak mengapa..Kerana semua boleh mengeluarkan pendapat dan pandangan samada menyokong atau membantah pelaksanaan E-Voting di peringkat pilihanraya kampus universiti. Tetapi, saya selaku Jurucakap BANTAH ingin mengatakan kepada seluruh mahasiswa di luar sana bahawa tidak perlu berkobar-kobar menyatakan pandangan dan pendirian anda di hadapan mahasiswa sendiri, ayuh!!!..Hadir bersama-sama di dalam Forum Terbuka BANTAH ini dan nyatakan pendirian anda selaku mahasiswa yang bebas dalam ertikata memberikan pandangan dan mahasiswa akan menilai pandangan anda itu. Saya menyeru mereka (mahasiswa) di luar sana untuk hadir bersama bagi memberikan pandangan serta daya intelek anda!!!

Bagi saya di peringkat BANTAH, saya akan memberikan jaminan kepada semua mahasiswa yang hadir bahawa Forum Terbuka E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus ini akan berjalan dalam suasana penuh intelek dan bemakna. Kelulusan yang BANTAH dapat memungkinkan bahawa idealisma dan kebebasan mahasiswa masih lagi 'berbunga' di universiti kita ini. Amaran juga ingin saya berikan kepada mana-mana pihak yang ingin atau bersita-cita untuk melakukan provokasi terancam terhadapa Forum Terbuka ini. Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadapa mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menganggu gugat kelancaran program intelek ini.

Saya tekankan di sini bahawa, Forum ini dihadiri oleh Ahli Akademik dan pimpinan baik di peringkat masyarakat dan mahasiswa, tidak ada satu pun kesalahan di dalam penganjuran Forum Terbuka ini kerana kita duduk di dalam suatu acara yang aman dan penuh keintelektualan. Perbahasan yang akan kita dengar dan nilai berdasarkan kepada Prinsip asas iaitu Demokrasi!!!

Kami juga di peringkat BANTAH akan melakukan deklarasi kami selaku platform mahasiswa yang keliru, sangsi dan was-was dengan pelaksanaan E-Voting ini dan deklarasi yang akan dibuat memungkinkan pihak kami untuk sekali lagi berjumpa dan merayu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khalid Nordin bagi menilai kembali pelaksanaan sistem E-Voting ini. Maka, usaha telah kami lakukan dan anda iaitu mahasiswa di luar sana yang akan melengkapkan lagi usaha kami ini sebagai suatu manifestasi yang lengkap dan sempuran untuk kita melakukan perubahan dan pembaikan di dalam pilihanraya kampus pada sesi kali ini.

Sekali lagi, saya menyeru dan terpanggil untuk menjemput semua aktivis dan pendokong mahasiswa untuk bersama-sama di dalam Forum yang penuh bermakna ini dan jangan sia-siakan keterbukaan ini untuk menyampaikan pandangan dan pendapat kita selaku mahasiswa yang akan mencorak perubahan negara pada masa akan datang.



Mohd Ridzuan Bin Othman

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)

December 26, 2009

Ramai dijangka hadiri Forum ‘E-Voting’

Ramai dijangka akan hadir ke Forum Terbuka berkenaan Sistem Pengundian Elektronik (E-Voting) anjuran Wakil Fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)

Forum yang bertajuk ‘E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus’ akan diadakan pada 1 Januari 2010 bertempat di Dewan Kuliah Utama Akademi Pangajian Islam Universiti Malaya (APIUM) jam 8.30 malam.


“Ramai yang memberi feedback yang positif atas penganjuran program ini kerana bukan sahaja membincangkan sistem (E-Voting) ini dari sudut yang pelbagai, telus dan intelek, bahkan panelis yang bakal hadir sememangnya pakar dalam sistem E-Voting, isu perundangan dan demokrasi,”ujar pengerusi BANTAH, Mohd Aizat Salleh.

Menurut beliau juga, hadirin yang bakal hadir termasuk dari pelbagai kampus dan NGO termasuk juga beberapa front mahasiswa seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS), Pro Mahasiswa Nasional (PRO-M), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman (SPKUM).

Forum berkenaan bakal menampilkan antara lain ialah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan YB Chang Lih Kang, bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Teja dan Dr Chiew Thiam Kian, pensyarah kejuruteraan perisian dari Universiti Malaya (UM).

Walaubagaimana pun, Dr Thiam Kian setakat ini masih lagi mempertimbangkan keputusan bagi menjadi panelis bagi forum berkenaan.

“Kalau Dr Thiam (Kian) tak dapat (menjadi panelis), kita mungkin akan menjemput Dr (David) Asirvatham (Pengarah Pusat Teknologi Maklumat Universiti Malaya) sebagai pakar dalam bidang perisian berkenaan untuk menjadi panelis, setakat ini kami masih berusaha,”respon Aizat.



December 21, 2009

Dr Thiam Kian belum beri keputusan jadi panelis forum


Dr Chiew Thiam Kian masih lagi belum memberi keputusan akhir bagi menjadi panelis bagi forum ‘E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus’ anjuran Wakil Fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) Januari ini.

Aizat Salleh, pengerusi BANTAH menyatakan pensyarah Kejuruteraan Perisian berkenaan masih lagi belum membuat keputusan menjadi salah seorang panelis dalam program berkenaan dengan alasan “masih lagi mempertimbangkan”.

Kenyataan berkenaan dihantar oleh pensyarah terbabit melalui E-Mail.

Aizat tidak mahu menjawab soalan media apabila ditanya “Adakah pensyarah berkenaan ditekan oleh pihak ketiga?”.

Namun beliau hanya menjawab, “Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, perlu jawapan telus Dr Chiew, kami masih cuba dapatkan (beliau)”.

Dr Chiew Thiam Kian merupakan antara pakar yang menjadi rujukan gabungan mahasiswa berkenaan dalam menjalankan kajian mengenai E-Voting dan ketidaktelusan pelaksanaannya.

Terdahulu, pensyarah berkenaan juga tidak bersetuju kenyataan beliau tentang pendapat mengenai sistem pengundian elektronik (E-Voting) dipaparkan kepada umum melalui media internet dan blog.

Forum berkenaan yang dijadualkan diadakan pada 1 Januari 2010 dengan menampilkan antara lain ialah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan YB Chang Lih Kang, bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Teja.

Forum BANTAH diUgut.

Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH) dilaporkan telah menerima pelbagai ugutan ekoran penganjuran mereka tentang forum terbuka membongkar sistem e-undi & demokrasi kampus.

Ugutan yang diterima berbentuk SMS daripada nombor yang tidak dikenali kesemuanya berbaur ugutan yang mahukan BANTAH menghentikan penganjuran forum tersebut awal tahun baru nanti.

Dimaklumakan SMS ugutan tersebut diterima Pengerusi BANTAH , Aizat Salleh dan jurucakap , Shafie Hashim . Mereka tidak akan teragak-agak membawa kes ini kepada polis dalam masa terdekat sekiranya perkara ini masih berlarutan kepada jurucakap yang lain ,kerana tindakkan tersebut mengganggu konsentrasi mereka seharian.

Sehubungan itu, dimaklumkan juga terdapat beberapa kumpulan tertentu di kampus yang mahu membuat “kacau” semasa forum berkenaan berlansung.

Forum terbuka E-undi & demokrasi Kampus akan dilaksanakan awal januari hadapan bertujuan memberikan input yang sebenar tentang perlaksanaan sistem pengundian baru dalam PRK akan datang.

Anjuran forum tersebut merupakan inisiatif MPMUM menerusi task force Khas (BANTAH) yang di pengerusikan Aizat Salleh , khusus bagi memantau perkara ini . Perkara ini selari dengan salah satu tema badan induk mahasiswa itu yang mahu membentuk budaya intelektual dan menyuburkan semangat demokrasi dalam Kampus.

Gerakan BANTAH telah bermula di UM dan telah pun bergerak ke kampus-kampus yang lain juga telah mendapat sokongan daripada 18 buah NGO dan pertubuhan pelajar di Malaysia.

BANTAH menuntut agar sistem E-undi tidak dilaksanakan dalam PRK kampus akan datang kerana didakwa mempunyai unsur penipuan dan tidak menjamin ketelusan serta mematikan semangat roh demokrasi kampus.

December 18, 2009

E-Undi tetap dilaksanakan di UM!!!


Pengarah Pusat Teknologi Maklumat, Dr David Asirvatham, semalam menyatakan pembangunan sistem e-undi untuk digunakan di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang ini sudah hampir 60 peratus siap.

Beliau menyatakan demikian, selepas menghadiri mesyuarat kali kedua Jawatankuasa Induk Pemilihan MPMUM di Bilik Court, bangunan Canselori, Universiti Malaya. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah pengerusinya, Datuk Dr Azarae Idris serta wakil-wakil daripada fakulti dan kolej kediaman. MPMUM yang diwakili Mohd Aizat, Benjamin dan Nurul Fitrah turut dijemput dalam mesyuarat itu.

Namun, katanya beliau dan pasukannya masih lagi meneliti sistem itu dan dalam proses penambah-baikan serta menerima cadangan-cadangan daripada pelbagai pihak.

Sistem itu juga ujarnya akan memudahkan proses pembuangan undi serta penjumlahan undi, dan dijangka keputusan akan diketahui sejurus daripada proses mengundi selesai.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan MPM, Datuk Azarae Idris pula menyatakan tidak ramai mahasiswa yang mengambil bahagian dalam siri roadshow penerangan berkenaan sistem baru itu.

“Stress test yang dilakukan di kolej sembilan dan di beberapa fakulti baru-baru ini, hanya dihadiri tidak sampai 10 peratus” katanya.

Tambahnya lagi, “Itu (Stress test) adalah bagi memberi gambaran kepada mahasiswa tentang situasi sebenar pemilihan MPM kelak dengan menggunakan sistem e-undi”

Walaubagaimanapun, katanya, jawatankuasa tersebut akan mengadakan semula taklimat proses pemilihan melalui e-undi pada 6 Januari depan di Dewan Tunku Canselor. Dijangka akan ramai mahasiswa akan menghadiri taklimat ini.

Sistem pengundian secara e-undi mula diperkenalkan setelah mendapat arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sesi ini. Antara kampus yang sudah menjalankan sistem ini adalah UUM, UPM, UPSI dan UIAM.

Namun, ia mendapat tentangan beberapa kumpulan mahasiswa yang meragui ketelusannya. Terbaru di Universiti Malaya sendiri melalui gabungan mahasiswa bantah e-undi (BANTAH). Atas desakan itu, pihak HEPA universiti diminta mengkaji semula perlaksanaanya.

Signifikan Penganjuran Forum Bantah E-Voting


Umum sudah mengetahui bahawa pada Pilihanraya Kampus sesi kali ini beberapa Universiti akan mengunapakai sistem E-Voting dalam menentukan pemilihan kepimpinan yang baru dan sekaligus tidak lagi mengunakan undian secara kertas undi. Dek kerana isu inilah, ditubuhkan Gerakan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) yang dipelopori oleh beberapa badan termasuklah NGO bagi mengekang dan menjadi suatu pertubuhan untuk menjamin ketelusan dan keadilan di dalam Pilihanraya Kampus di seluruh universiti tempatan di Malaysia.

Beberapa langkah telah diambil oleh Pihak BANTAH di dalam menjamin ketelusan di dalam pilihanraya kampus akan datang di antaranya ialah menghantar Memorundum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khalid Nordin, surver terhadap mahasiswa tentang E-Voting dan siri-siri penerangan kepada mahasiswa berkenaan dengan sistem baru ini. Beberapa siri penjelajahan telah bermula di peringkat awal lagi sehinggalah merangkak masuk ke Bangunan Parlimen bagi menyatakan pendirian mahasiswa kepada Ahli Parlimen Malaysia bahawa mahasiswa tidak mahu sebarang bentuk ketidakadilan di dalam Demokrasi Kampus pada sesi kali ini.

Dengan sikap yang terbuka dan mahukan ketelusan di dalam Pilihanraya Kampus pada kali ini, maka BANTAH terpanggil untuk mengadakan Forum Terbuka berkenaan dengan Sistem E-Voting yang akan dilaksanakan ini. Secara dasarnya, Forum sebegini diadakan bukanlah semata-mata berkepentingan politik kampus tetapi kita mahukan mahasiswa mendengar sendiri pandangan dan pendapat daripada tokoh-tokoh akademik yang lansgung tidak mempunyai ideologi politik seperti Prof. Dr. Aziz Bari.

Selain itu, beliau juga akan mengupas dari sudut perundangan bilamana sistem E-Voting ini dijalankan secara menyeluruh dan penerapan undang-undang termasuklah AUKU yang digunapakai di dalam sistem ini. 2 orang tokoh lagi dijemput untuk menerangkan bagaimana sistem E-Voting ini berjalan dari sudut perisian teknologi dan kita juga mahu melihat berapa peratus kecekapan dan ketelusan sistem ciptaan manusia mampu memberikan suatu kepuasan terhadap mahasiswa dan wujudkan kebobrokan akibat daripada tangan-tangan manusia yang akan mencemari penggunaan sistem ini.

Biarlah mahasiswa bertanding di atas satu landasan yang rata sesama mahasiswa manakala Pentadbiran Universiti hanyalah sekadar Pengadil yang akan mengadili dengan adil dan bijaksana. Kita tidak mahu pilihanraya kampus ini menjadi gelangang silap mata tetapi mata tidak silap lihat segala propaganda yang memungkinkan ketelusan di dalam pilihanraya ini diragui.

Selain itu, kita di peringkat BANTAH ingin menyeru kepada seluruh Mahasiswa supaya memandang isu ini sebagai suatu perkara yang serius kerana melibatkan kepimpinan di peringkat Universiti. Kita tidak mahu pemimpin yang dilantik nanti akan menjadi Lembu Dicucuk Hidung dan tidak mampu membuat keputusan yang berasaskan Mahasiswa tetapi mengikut telunjuk sesetengah pihak yang berkepentingan. Pemimpin Mahasiswa adalah bebas dari sudut membawa mahasiswa ke arah yang lebih produktif dan menjaga kebajikan Mahasiswa adalah satu tanggungjawab yang paling utama. Kita tidak mahu Pemimpin Mahasiswa yang dilantik nanti hanya pandai berkata-kata bila berhadapan dengan Mahasiswa tetapi kecut perut bila berhadapan dengan pentadbiran. Ingin menjaga nama dan pangkat, maka sanggup ditunggang seadanya dan inilah Pemimpin Bacul yang sedang dilahirkan sekarang.

Mahasiswa bebas berfikir dan di peringkat kampus, mahasiswa bebas melaksanakan apa-apa jua tindakan selagi mana bertepatan dengan peraturan Universiti tetapi peraturan yang mengekang dan menghalang kebebasan mahasiswa perlu diperbetulkan dan diperbaiki.

Ramai yang berpendapat bahawa pelaksanaan Sistem E-Voting di UIAM dan UPM baru-baru ini sudah menjelaskan bahawa gambaran pelaksanaan ini adalah telus dan adil. Kami di BANTAH ini ingin menyatakan dasar kami bahawa suasana di setiap Universiti amat berbaza dan ini memungkinkan bahawa suasana tersebut akan berubah bila-bila masa. Memang benar, UIAM sudah lama melaksanakan sistem ini bahkan kita perlu menyedari bahawa di peringkat awal sistem ini dibantah secara keras di peringkat Mahasiswa UIA begitu juga di UPM dan kini BANTAH secara keseluruhannya membantah sistem ini. Bukan perlaksanaan yang ingin kami tumpukan tetapi kami mahukan jaminan ketelusan dan keadilan di dalam pilihanraya kampus yang akan diadakan.

Buat apa mengadakan pilihanraya jika berlakunya kepincangan dan keraguan sebelum sistem dilaksanakan??. BANTAH mahukan jaminan 100% daripada pihak pentadbiran Universiti sebelum diadakan sistem E-Voting ini secara keseluruhannya. Jika tiada jaminan sepenuhnya daripada pihak Universiti, BANTAH beranggapan bahawa pihak universiti belum cukup bersedia untuk mengadakan sistem ini dan tidak perlu segan silu, pihak Universiti perlu menarik balik keputusan untuk melaksanakan E-Voting ini.

Akhir sekali, saya menyeru kepada seluruh Mahasiswa untuk bersama-sama menghadiri Forum Terbuka yang BANTAH adakan secara ilmiah bagi membuka minda mahasiswa terhadap Sistem E-Voting ini dengan jelas berdasarkan prinsip keadilan sejagat buat mahasiswa. Jadikan Forum ini sebagai wadah yang baik dan bermakna kepada seluruh mahasiswa untuk mengenal Sistem E-Voting ini dengan lebih mendalam. Seluruh Mahasiswa dijemput hadir.

MOHD RIDZUAN BIN OTHMAN
JURUCAKAP BANTAH


December 17, 2009

“Perlu tubuh suruhanjaya, Ghauth dan 2 David perlu disiasat”



Perlu ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat Prof. Dr. Ghauth Jasmon, Dr David Ngo Chek Leng dan Dr David Asirvatham. Itu pendirian Gerakan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) berhubung dakwaan isu kronisme dan perlantikan “tender tertutup” dalam pentadbiran universiti berkenaan.

Ghauth yang merupakan Naib Canselor universiti berkenaan semalam didakwa mengamalkan kronisme dan perlantikan “tender tertutup” terhadap dua individu iaitu Dr David Ngo Chek Leng dan Dr David Asirvatham masing-masing kini menjawat jawatan sebagai Profesor dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM).

Dr David Ngo Chek Leng didakwa tidak lulus kelayakan minimum iaitu kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat SPM/MCE atau kelulusan yang selayaknya sebagaimana dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2008.

Manakala Dr. David Asirvatham (foto kanan) daripada Universiti Multimedia (MMU) sebagai Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) tanpa “melalui proses temuduga atau prosedur seperti pegawai biasa”.

BANTAH melalui pengerusinya, Mohd Aizat Salleh tidak menolak perlantikan dua individu berkenaan ada hubunga kait dengan Sistem Pengundian Elektronik (E-Voting) yang akan dijalankan pada semester hadapan dalam Pilihanraya Kampus.

“Menguasai PTM (Pusat Tekonologi Maklumat UM) dan membawa masuk secara “tender tertutup” seorang “pakar” sebagai dekan di fakulti FSKTM (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat), pada pandangan saya sudah cukup untuk menguasai seluruh sistem E-Voting, malah “selesa” untuk melakukan penyelewengan,” ujar beliau semalam di parlimen.

Beliau juga yang merupakan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) memohon Ghauth, Ngo Chek Leng dan Asirvatham melepaskan jawatan mereka sementara secara professional bagi member laluan siasat terhadap dakwaan dapat dijalankan.

Terdahulu, Ghauth mengakui ketelusan E-Voting dihadapan exco MPMUM berkenaan dengan pendirian “Kami dapati sistem itu (E-Voting) dijalankan dengan telus di MMU, saya kenal lama dan saya percaya 100% pada Dr David (Asirvatham)”.

http://www.youtube.com/watch?v=BnH1MmoyXYA

BANTAH Anjur Forum Bantah E-Voting




Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (Bantah) akan menganjurkan satu forum sebagai usaha meneruskan kempen mereka memberi kesedaran kepada masyarakat kampus berhubung kesan terhadap demokrasi kampus jika pengundian secara elektronik (e-voting) dilaksanakan pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang.

Mereka dengan kerjasama wakil fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan menganjurkan forum terbuka bertajuk 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' yang dijadual berlangsung jam 8 malam 1 Januari ini bertempat di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam UM.

Tiga ahli panel yang akan ditampilkan termasuk pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pensyaraah Jabatan Kejuruteraan Perisian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi maklumat UM, Dr. Chiew Thiam Kian dan seorang bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Chang Lih Kang yang juga ADUN Teja.

Pengerusi Bantah, Mohd Aizat Salleh ketika dihubungi memberitahu penganjuran tersebut sebgai usaha berterusan gabungan pelajar itu membantah e-undi dan memberi kesedaran Justify Fullkepada pelajar berhubung demokrasi kampus.

"Kita anjur forum ni kerana mahu menyedarkan student tentang demokrasi kampus.

"Kita cuba tampilkan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk menjelaskan kepada kita tentang kesan e-voting ini,"


Ditanya berhubung kesan membawa masuk ahli politik sebagai panel forum tersebut, aizat memberitahu ianya tiada masalah kerana program itu anjuran wakil fakulti dan tidak berkaitan dengan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Sebelum ini lapan mahasiswa UM telah didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh membawa masuk ahli politik ke dalam universiti

Mereka dihadapkan ke perbicaraan oleh Tribunal Universiti dan dituduh melakukan kesalahan disiplin dibawah seksyen 16 (c) Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999. Bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan dan dibuktikan tiada kes.

Bantah disertai lebih 18 organisasi mahasiswa seluruh negara memperjuangkan supaya sistem e-voting bagi PRK akan datang dimansuhkan kerana didakwa terdapat bayak ruang yang boleh dimanipulasi dan disalahguna pihak berkepentingan.

Beberapa memorandum bantahan juga telah diserahkan kepada pelbagai pihak termasuk kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) akar hasrat itu dikaji semula.

November 14, 2009

E-Undi dari Perspektif Islam


Oleh: Mohd Idris b. Mohd Yussoff*

Allah s.w.t mewajibkan setiap daripada kelompok manusia itu dipilihnya pemimpin yang boleh memandu masyarakatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Pemimpin akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan terhadap rakyat di bawahnya. Ini ditegaskan dalam hadith Nabi s.a.w:

“Apabila keluar tiga orang diantara kamu, maka (hendaklah) dipilihnya dikalangan mereka seorang pemimpin (ketua).”

Dalam kewajipan itu, aspek pemilihan kepimpinan dan kriterianya sangat perlu diambil kira dengan penuh teliti. Para ulama menegaskan dalam konsep usul fiqh:

“Apa yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu, melainkan dengan melakukan sesuatu perkara itu, maka perkara itu turut menjadi wajib”

Justeru itu, pemimpin itu wajib dipilih, dan apa sahaja usaha ke arah memilih kepimpinan turut menjadi satu kewajipan. Dalam pada ini, jika di kampus dan universiti, medan Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah landasan yang terbaik memilih kepimpinan.

Pemimpin? – caranya apa?

Islam tidak menghalang apa jua yang baik, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip dan peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, medan pilihan raya adalah satu medan penting dan sesuai memilih dan menilai siapakah pemimpin yang baik untuk dipilih.

Konsep jarh wa ta’dil (kritik dan analisis) kepada batang tubuh pemimpin digalakkan dalam Islam. Supaya pemimpin ini boleh bekerja dengan baik dan amanah tatkala ia diberikan jawatan oleh rakyat yang memilihnya.

Rakyat ada hak untuk mengetahui siapakah yang bakal memimpinnya. Dan orang yang dipilih juga mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja yang dirasakan mengikut pengamatan mereka adalah baik dan boleh bekerja untuk mereka. Dan hak ini diberi kebebasan oleh Islam malah juga dalam perlembagaan Malaysia.

Sistem E-Undi : Membunuh Hak Memilih Pemimpin

Apakah maknanya satu sistem yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan diragui integriti. Seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai satu badan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, mereka tidak boleh bertindak seperti menyokong satu pihak tertentu dan menyalahi pihak yang lain.

Begitu juga dengan hakim di mahkamah yang memutuskan sesuatu keputusan.

Apakah wajar satu sistem pilihan raya kampus atau lebih dikenali sebagai medium demokrasi kampus untuk para mahasiswa memilih kepimpinan ditentukan oleh hanya dua atau tiga orang yang memegang sistem tersebut?

Adakah adil seandainya orang lain yang menentukan pemimpin yang perlu kita ikuti? Adakah dinamakan demokrasi dan keadilan Islam sekiranya kita dipaksa untuk memilih satu-satu individu tertentu untuk menjadi orang yang akan memandu kehidupan kita kelak?

Jika begitu, bagaimanakah pula pemimpin yang lahir daripada sistem-sistem tersebut?

Keadilan, Ketelusan dan Kepimpinan

Soal pemimpin bukan persoalan main-main dan boleh disembangkan di kedai-kedai kopi. Betapa pentingnya kepimpinan ini boleh diambil pengajaran daripada peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w.

Sejurus Rasulullah s.a.w wafat, belum pun disemadikan jasadnya, para sahabat terus mengadakan pertemuan tergempar untuk membahaskan siapakah pemimpin yang bakal menggantikan Rasulullah sebagai khalifah kelak. Apakah para sahabat sudah tidak sempat-sempat memilih pemimpin sehinggakan tidak menghormati kematian Rasulullah?(Rujuk Kitab: Fiqh Sirah karangan Dr Said Ramadhan Al-Buthi)

Pandang ke hadapan, hadapan dan terus ke hadapan

Pandanglah kehadapan dan bagaimana generasi-generasi yang bakal lahir daripada penciptaan sistem-sistem yang tidak berlandaskan keadilan. Saya yakin ini bukan persepsi yang memutar kembali jam ke belakang, seolah tidak menerima kemajuan dan kemodenan kerana saya yakin Islam tidak sekali-kali menolak kemajuan dan malah sentiasa mendepaninya.

Malah penilaian ini juga bukan sahaja kepada yang melahirkan sistem ini, bahkan pengundi yang amanah dan sedar akan kepentingan memilih kepimpinan yang baik, turut bertanggungjawab mengubah sistem ini dengan kuasa yang ada di tangan mereka

*Beliau adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)

BANTAH tuntut jawapan menteri segera

KUALA LUMPUR, 16 Okt: Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) menuntut Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Khaled Nordin memberi jawapan segera berhubung desakan mereka supaya sistem undian elektronik, e-undi dimansuhkan.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, mereka memberitahu belum menerima sebarang jawapan dari menteri berkenaan selepas menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada Khaled minggu lalu.

Sewakatu penyerahan pada satu majlis di Universiti Putra Malaysia (UPM) 11 Oktober lalu, mereka mendakwa menteri berkenaan memberi jaminan untuk mengkaji sistem tersebut namun sehinga hari ini belum ada maklum balas dari beliau.

Lebih merisaukan mereka, pilihan raya kampus kemungkinan diadakan dalam masa terdekat dan harapan melihat sistem e-undi dimansuhkan mungkin tidak kesampaian.

E-undi dibantah kerana didakwa tidak telus dan mempunyai ruang besar untuk dimanipulasi pihak berkepentingan dan pada masa yang sama banyak kampus belum cukup persediaan melaksanakannya

BANTAH juga ujar mereka menyokong usaha pihak pentadbiran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tidak melaksanakan sistem ini kerana kurang persediaan dan melihat banyak isu yang perlu diperbaiki

Desakan ini juga beritahu mereka bukan kerana kepentingan mana-mana kumpulan namun untuk kebaikan semua supaya tidak timbul apa-apa pertikaian pada masa akan datang.

"BANTAH tidak bersifat selektif dalam memperjuangkan isu bantahan E-undi ini. BANTAH akan tetap mendesak pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar terus membatalkan sistem ini, walaupun Pilihan Raya Kampus (PRK) dimenangi oleh mana-mana pihak atau kumpulan," kenyataan mereka dipetik.

"BANTAH berpendirian bahawa siapa jua pemimpin yang dipilih melalui sistem yang bobrok dan tidak telus ini, akan mematikan demokrasi kampus, dan mematikan generasi kepimpinan mahasiswa yang berkarisma dan berintegriti," ujar mereka lagi.

Ekoran itu mereka memberi tempoh tiga hari bermula hari ini kepada menteri berkaitan membuat keputusan berhubung desakan mereka supaya memansuhkan terus sistem e-undi tersebut.

"Justeru itu, BANTAH mendesak Dato Khaled Bin Nordin selaku menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, agar segera membuat keputusan berhubung sistem E-Undi ini dalam tempoh masa 3 hari bermula kenyataan media ini dikeluarkan," desak mereka.

November 10, 2009

Hantar MEMO pada NC – BANTAH


Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) akan meneruskan desakan mereka ke atas sistem baru yang bakal di aplikasikan dalam Pilihanrayakampus sesi ini menerusi satu memorendom yang akan di serahkan kepada NC seluruh kampus pada minggu hadapan sandaran harapan agar sistem ini tidak di laksanakan.

Dalam satu kenyataan kepada um-today , jurucakap BANTAH, Mohd Shafie Hashim menggesa Naib Canselor mengkaji semula pro dan kontra sistem undian baru itu.

“BANTAH hari ini menggesa pihak Naib Canselor setiap universiti yang akan melaksanakan sistem ini agar mengkaji semula baik dan buruk sistem ini dan kesannya kepada demokrasi kampus serta pemimpin mahasiswa yang akan lahir kelak,”

KPT sebelum ini memutuskan tetap melaksanakan E-undi di seluruh kampus dan memberi jaminan ianya akan berjalan dengan telus dan adil.

Manakala BANTAH pula berpendirian sistem baru tersebut mampunyai ruang yang sangat besar untuk dimanipulasi pihak berkepentingan.

“Sistem E-Undi yang baru diperkenalkan ini dilihat banyak mempunyai kelemahan dan mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Disamping itu, ketelusan pengundian juga diragui apabila tidak munasabah seandainya berlaku keraguan di dalam pengiraan undi, pengundian akan dijalankan semula kerana ia tidak dapat dikenal-pasti melalui sistem komputer. Ia berbeza dengan pengundian secara manual,” katanya lagi.

Sehubungan itu mereka meletakkan harapan kepada Naib Canselor seluruh kampus membuat pendirian serupa seperti mana dilakukan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dato Zaini Bin Ujang.

Zaini sebelum ini memutuskan UTM tidak akan melaksanakan E-undi kerana didakwa bimbang berlaku ketidakadilan dan masih belum bersedia sepenuhnya.

“Keputusan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dato Zaini Bin Ujang yang tidak melaksanakan sistem ini kerana bimbang berlaku ketidak telusan dan masih belum bersedia sepenuhnya, amat wajar dicermati dan BANTAH sangat peka akan perkara ini,”

BANTAH pada waktu ini masih meneruskan kempen kesedaran kepada mahasiswa bagi menarik sokongan ramai membantah sistem undian elektronik tersebut.

Mereka bertemu mahasiswa dan menerangkan kenapa e-undi perlu dibantah melalui penerangan biasa dan edaran risalah
 
Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.